Thursday 29 December 2011

PENGENALAN DAN PENGERTIAN KREATIVITI

PENGENALAN KREATIVITI
Setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih kreatif dan produktif, tetapi ianya bukanlah merupakan hak mutlak akan terjadi kepada semua orang.  Ianya berkait rapat dengan idea, perasaan, pemikiran, pengalaman dan keinginan seseorang.  Sikap tunggu dan lihat, lemah jiwa, kekurangan pengetahuan dan kemahiran, menjadikan potensi kreatif yang ada pada setiap orang beransur lemah dan pasif.
Bagi seseorang artis, pemikiran kreatif (pemikiran tampak) yang kadangkala tidak menggunakan walau sepatah perkataan, merupakan suatu prosedur atau kaedah yang perlu digunakan apabila ia melihat, berfikir atau belajar bagi mewujudkan idea.  Idea yang diperolehi mungkin berupa imej tampak atau kefahaman pandang-timbang yang dapat ditukarkan ke dalam bentuk perkataan,  angka, simbol atau rentak muzik.  Seseorang yang kreatif lazimnya tidak hanya memaparkan  secara langsung tentang apa yang dilihat atau dialaminya, ia mungkin menggunakan metafora dan analogi memproses pengalaman tampaknya untuk dilahirkan ke dalam bentuk tampak yang baru.  Keupayaan menggunakan metafora dan  analogi memerlukan pula pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan.  Dengan lain perkataan, untuk mendapatkan kefahaman-timbang, seseorang itu perlu berusaha mendapatkan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran tentang sesuatu bidang.
Umumnya, para pendidik dan ahli psikologi hanya mneggunakan 10% keupayaan minda mereka.  Maksudnya, masih terdapat banyak ruang untuk mempertingkatkan keupayaan kreativiti dan  produktiviti.  Ungkapan “tiada Ilham” seharusnya bukan menjadi pegangan seseorrang yang kreatif.  Ia harus mencari dan meningkatkan kesedaran, mengenalpasti sesuatu, menginterpretasi dan melihat kemungkinan melalui daya pandang-timbang, untuk membentuk atau menukar imej kepada imej tampak yang baru.  Pangdang timbang memungkinkan berlaku sesuatu yang baru merupakan asas struktur penciptaan kreatif.  Ia memerlukan pemikiran yang seimbang iaitu melalui penggunaan otak kiri(perkataan) dan otak kanan(imej) pada masa serentak atau berubah-berubah dari kiri ke kanan dan sebaliknya.
Menurut Herbert Read, kita tidak hanya  mengajar kanak-kanak mengetahui, tetapi juga pada masa yang sama, mengajar mereka mencipta. Untuk mengetahui fakta (otak kiri) adalah suatu perkara,dan menukarkan fakta  kepada bentuk baru memerlukan keupayaan membuat  metafora(otak kanan) adalah suatu perkara lain, yang merupakan fungsi pemikiran kreatif.  Bagi mempertingkatkan daya kraetiviti seseorang, pembelajaran dan pengalaman aktiviti Pendidikan Seni adalah diperlukan.  Oleh itu, kurikulum Pendidikan Seni sewajarnya mempunyai objektif yang menuju kearah tujuan seperti memahami dan bertindak terhadap aspek seni, mengetahui pentingnya nilai seni dalam kehidupan, menghasilkan karya(produk seni), memahami seni dan membuat dan menggunakan pertimbangkan estetik dan kualiti karya seni.
 PENGERTIAN KREATIVITI
            Terdapat banyak pengertian tentang kreativiti yang dikemukakan oleh pakar-pakar berkaitan dengannya.  Antaranya ialah menurut June King McFee, kreativiti ialah keupayaan mencipta perlambangan dan idea yang baru, bagi mengemaskinikan perlambangan yang sedia ada, menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada suatu organisasi yang baru dan berdaya menyatukan idea baru atau idea yang diambil dari sesuatu kepada sisitem organisasi atau situasi yang lepas iaitu memberi makna baru.
            Manakala menurut E.  Paul Torrance, pelajar yang kreatif belajar melalui penyoalan, pemerhatian, penemuan, percubaan, penerokaan, memanipulasi sesuatu dan semasa bermain tetapi sentiasa mencuba mencari kebenaran dan keesahan.  Donald W. Mac Kinnon pula menyatakan bahawa individu kreatif boleh menyatakan tentang dirinya, mempunyai aras intelektual yang tinggi, berfikiran terbuka bagi mendapatkan pengalaman dan kepekaan estetik, berdikari dalam aspek berfikir dan bertindak dan berusaha menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
            Seterusnya, Robert C Burkhat pula menyatakan bahawa kreativiti ialah pembelajaran interaktif dalam kehidupan iaitu proses tindakbalas terhadap semua aspek yang datang dan pergi dalam aspek yang datang dan pergi dalan kehidupan secara berterusan untuk memebuat keputusan bagi menerima atau menolak, membina atau memusnahkan, mengulang atau menambah dan kejayaan atau kegagalan. Manakala, menurut Viktor Lowenfeld. Kreativiti ialah suatu naluri semulajadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang.  Naluri itu merupakan faktor pertama digunakan untuk menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan.  Keinginan ialah asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu.  Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.
            Carl R Rogers pula berpendapat bahawa proses kreativiti wujud melalui tindakan sesuatu yang berkaitan dengan ciri keunikan seseorang, bahan dan alat yang digunakan, kejadian dan peristiwa, manusia di persekitaran atau suka duka kehidupannya.  J.P Guilford pula menyatakan pemikiran kreatif adalah pemikiran yang fleksibel, lepas dari belenggu pemikiran lama dan berusaha mencari arah pemikiran dan tuju hala yang baru.  Malah, mengharapkan dan menjangkakan kepada sesuatu yang unik dan asli.  Kemudian, Nikola Tesla pula  berpendapat kreativiti ialah keupayaan menghubungkan pemikiran tampak dengan kesan luaran.

No comments:

Post a Comment