Saturday 7 January 2012

CIRI-CIRI KREATIF DALAM PENDIDIKAN SENI

CIRI-CIRI KREATIF DALAM PENDIDIKAN SENI
            Seorang artis atau tukang dikatakan sebagai insan yang mempunyai daya kreatif, imaginatif dan nilai estetik yang tinggi.  Pendidikan seni bukan bertujuan untuk melahirkan ramai artis tetapi melatih dan mendidik pelajar agar dapat membentuk sahsiah yang positif dengan memiliki sifat-sifat kreatif sepertimana yang terdapat pada diri seseorang artis yang unggul.
            Seseorang artis yang unggul,  mereka mempunyai ciri-ciri daya persepsi yang tinggi.  Mereka peka, berkeupayaan dan gemar kepada melihat kekuatan nilai dan makna pada objek dan alam, mendengar “Bunyi Kehidupan” di sekeliling mereka, sedar tentang apa yang dirasa dan disentuh dan peka kepada bau yang dihidu.  Selain itu,  mereka juga mempunyai sifat daya membina idea sendiri.  Mereka memberi “Nafas Baru” dan kesinambungan terhadap perkara silam atau isu lama.  Malah, mereka juga membina, mencipta dan menghasilkan sesuatu, mencuba cara atau teknik baru, memanipulasi idea dengan pelbagai cara, secara tidak lazim atau berlainan dari kebiasaan perlakuan, mencuba dan meneroka pelbagai pendekatan dan bahan, menyelesaikan masalah dengan cara sendiri dan berimaginasi tinggi iaitu melangkau batas pemikiran biasa.
            Selain itu, mereka juga mempunyai sifat suka mencuba, meneroka dan mencari sesuatu yang baru.  Merekan akan menggunakan cara-cara baru dan inventif menghubungkan idea dan imej, mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang berlainan dari kebiasaan, berimaginasi dan berdaya mewatakan sesuatu dan berfikiran tulin dan asli.  Seterusnya, mereka suka mengkaji dan menyelidik supaya dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan, menganalisa data maklumat tentang apa yang dialami, bertanya dan mencari penjelasan dan mencari penemuan baru mengenai hubungan antara idea dan bahan.
            Di samping itu, seorang artis juga mempunyai sifat peka terhadap nilai estetik.  Maksudnya, mereka tertarik terhadap nilai keindahan, kecantikan, keunikan, kelainan dan keharmonian pada objek, alam dan kehidupan.  Malah, mereka dapat merasakan nilai rentak, irama dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan.  Sifat yang terakhir yang dimiliki oleh artis ialah keyakinan diri.  Mereka  menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan, berdikari dan mempunyai kekuatan perasaan dan emosi serta dapat membuat pernyataan diri.

Wednesday 4 January 2012

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI
            Terdapat pelbagai pendapat yang memperkatakan tentang proses kreativiti atau artisitik dan tahap-tahap perkembangannya.  Ada orang menggunakan tahap-tahap perkembangan kreativiti ini secara sekuens dalam kerja penghasilan karya mereka, ada juga yang tidak menggunakannya secara demikian, dan ada yang menghasilkan karya secara lebih bersifat personal dan tersendiri.
            Namun demikian, dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni, pengetahuan mengenai tahap-tahap perkembangan kreativiti adalah penting kerana dapat membantu para pendidik seni merancang pelajaran dan aktiviti secara tersusun dan berkesan.  Tahap-tahap perkembangan tersebut juga menggambarkan bahawa Pendidikan Seni adalah merupakan suatu bidang ilmu yang mempunyai struktur, terancang, pemeringkatan proses, boleh diajar dan boleh dinilai.