Thursday 28 February 2013

Sumbangan Pendidikan Seni Abad ke-21


Sumbangan Pendidikan Seni  Abad ke-21
1)    Meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan melahirkan tenaga mahir
Sumbangan pengajaran pendidikan seni pada abad ke-21 ialah dapat meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan melahirkan tenaga mahir.  Pendidikan seni ialah salah satu mata pelajaran yang boleh memupuk kebolehan masyarakat untuk mengharungi satu cabaran kepada sistem pendidikan negara yang mana Malaysia kekurangan ‘inovator’.  Dengan menambah satu atau dua mata pelajaran baru belum menjamin melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif, tetapi yang penting ialah kesesuaian isi kandungan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan terhadap mata pelajaran sedia ada, agar berupaya membina nilai dan keupayaan tersebut.  Oleh itu, untuk melahirkan guna tenaga yang berkualiti, perancangan perlu dibuat agar kualiti kreatif dan inovatif dapat disemai dalam kalangan pelajar melalui pelajaran pendidikan seni.  Hal ini demikian untuk memberi penekanan yang lebih serius malah terancang agar dapat membantu melahirkan guna tenaga yang berkualiti.
2)    Membina generasi yang peka
Pengajaran mata pelajaran pendidikan seni juga boleh meningkatkan kuliti deria kepekaan individu khususnya yang berkaitan dengan bentuk-bentuk seni dan persekitarannya. Malah, peka terhadap keindahan dan kebersihan fizikal dan kebersihan rohani.  Untuk menangani tekanan dan pembangunan yang pesat sebagai negara maju di abad ke-21, sifat peka ini perlu ditanam dalam kalangan generasi muda.  Melalui pelajaran pendidikan seni, domain afektif pelajar dipupuk dan dijana agar sifat-sifat murni dan pembinaan rohani mereka terbentuk.  Selain itu, melalui pengajaran pendidikan seni dapat membantu atau menghalang generasi muda daripada merosakkan harta benda awam untuk menunjukkan perasaan mereka.  Pengajaran pendidikan seni dapat memberikan generasi muda rasa sayang dan peka terhadap persekitaran dan alam sekitar. Oleh itu, perancangan kurikulum pendidikan seni untuk menyediakan generasi muda abad ini perlu dibuat dengan teliti agar nilai-nilai murni itu berjaya dibentuk dan direalisasi. Dengan itu, pada abad ke-21 akan dapat membina satu generasi yang mampu membudayakan kepentingan nilai estetika dalam kehidupannya.
3)    Meningkatkan kemahiran menghayati seni
Selain daripada itu, pengajaran pendidikan seni pada abad ke-21 juga dapat meningkatkan kemahiran menghayati seni kepada masyarakat.  Dengan itu, mereka tahu berbicara tentang seni, tahu menilai sesuatu bentuk seni seterusnya mampu meletakkan nilai seni itu sebagai warisan bangsa dan budaya sesuai pada tempatnya.  Golongan inilah yang akan menggerakkan industri seni negara, yang menjadi pelanggan kepada penggiat seni.  Apabila semakin berkembang masyarakat yang celik seni, maka semakin berkembanglah industri galeri dan muzium seni di negara ini. Industri ini juga sebagai cabang ekonomi yang mana pelancong akan berkunjung ke Malaysia dan tertarik untuk berkunjung dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkan kepuasan.  Maka, pada abad ini, lingkaran perniagaan industri seni dan pelancongan akan terus berkembang.
4)    Membina disiplin
Pengajaran seni dapat mendisiplinkan pelajat melalui kegiatan dalam pelajaran.  Ketika dalam pengajaran Pendidikan Seni, setiap kegiatan dalam pelajaran ini menyentuh aspek yang berkaitan dengan prosedur, tatacara dan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi khususnya yang berkaitan dengan penggunaan alat dan bahan, penggunaan teknologi, seterusnya perlu mematuhi lunas-lunas seni yang halus itu.  Malah, pengajaran seni juga dapat membina nilai-nilai halus dan murni secara kreatif dan inovatif, membentuk disiplin pelajar seperti juga kentalnya disiplin guru.
5)    Membina jati diri dan membina seni yang bersifat global
Pada abad ke-21, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang maju.  Sebagai sebuah negara yang maju, maka rakyatnya juga perlu berkualiti antarabangsa.  Dengan itu, sekurang-kurangnya, mereka akan mengenali di manakah negara yang menjadi pasaran produk barangan negaranya yang diedarkan di merata dunia.  Budaya ini boleh dipupuk melalui pendidikan seni dengan mempelajari seni dalam budaya lain.  Oleh hal itu, dengan mempelajari daripada pengalaman penstrukturan kurikulum Jepun sebagai yang maju dan produk industrinya menguasai pasaran dunia dapat dibuat.  Dengan itu, kurikulum pendidikan seni Malaysia pada abad ke-21 perlu berupaya membina semangat jati diri dan membina ilmu seni yang bersifat global.