Thursday 28 February 2013

Sumbangan Pendidikan Seni Abad ke-21


Sumbangan Pendidikan Seni  Abad ke-21
1)    Meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan melahirkan tenaga mahir
Sumbangan pengajaran pendidikan seni pada abad ke-21 ialah dapat meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan melahirkan tenaga mahir.  Pendidikan seni ialah salah satu mata pelajaran yang boleh memupuk kebolehan masyarakat untuk mengharungi satu cabaran kepada sistem pendidikan negara yang mana Malaysia kekurangan ‘inovator’.  Dengan menambah satu atau dua mata pelajaran baru belum menjamin melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif, tetapi yang penting ialah kesesuaian isi kandungan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan terhadap mata pelajaran sedia ada, agar berupaya membina nilai dan keupayaan tersebut.  Oleh itu, untuk melahirkan guna tenaga yang berkualiti, perancangan perlu dibuat agar kualiti kreatif dan inovatif dapat disemai dalam kalangan pelajar melalui pelajaran pendidikan seni.  Hal ini demikian untuk memberi penekanan yang lebih serius malah terancang agar dapat membantu melahirkan guna tenaga yang berkualiti.
2)    Membina generasi yang peka
Pengajaran mata pelajaran pendidikan seni juga boleh meningkatkan kuliti deria kepekaan individu khususnya yang berkaitan dengan bentuk-bentuk seni dan persekitarannya. Malah, peka terhadap keindahan dan kebersihan fizikal dan kebersihan rohani.  Untuk menangani tekanan dan pembangunan yang pesat sebagai negara maju di abad ke-21, sifat peka ini perlu ditanam dalam kalangan generasi muda.  Melalui pelajaran pendidikan seni, domain afektif pelajar dipupuk dan dijana agar sifat-sifat murni dan pembinaan rohani mereka terbentuk.  Selain itu, melalui pengajaran pendidikan seni dapat membantu atau menghalang generasi muda daripada merosakkan harta benda awam untuk menunjukkan perasaan mereka.  Pengajaran pendidikan seni dapat memberikan generasi muda rasa sayang dan peka terhadap persekitaran dan alam sekitar. Oleh itu, perancangan kurikulum pendidikan seni untuk menyediakan generasi muda abad ini perlu dibuat dengan teliti agar nilai-nilai murni itu berjaya dibentuk dan direalisasi. Dengan itu, pada abad ke-21 akan dapat membina satu generasi yang mampu membudayakan kepentingan nilai estetika dalam kehidupannya.
3)    Meningkatkan kemahiran menghayati seni
Selain daripada itu, pengajaran pendidikan seni pada abad ke-21 juga dapat meningkatkan kemahiran menghayati seni kepada masyarakat.  Dengan itu, mereka tahu berbicara tentang seni, tahu menilai sesuatu bentuk seni seterusnya mampu meletakkan nilai seni itu sebagai warisan bangsa dan budaya sesuai pada tempatnya.  Golongan inilah yang akan menggerakkan industri seni negara, yang menjadi pelanggan kepada penggiat seni.  Apabila semakin berkembang masyarakat yang celik seni, maka semakin berkembanglah industri galeri dan muzium seni di negara ini. Industri ini juga sebagai cabang ekonomi yang mana pelancong akan berkunjung ke Malaysia dan tertarik untuk berkunjung dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkan kepuasan.  Maka, pada abad ini, lingkaran perniagaan industri seni dan pelancongan akan terus berkembang.
4)    Membina disiplin
Pengajaran seni dapat mendisiplinkan pelajat melalui kegiatan dalam pelajaran.  Ketika dalam pengajaran Pendidikan Seni, setiap kegiatan dalam pelajaran ini menyentuh aspek yang berkaitan dengan prosedur, tatacara dan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi khususnya yang berkaitan dengan penggunaan alat dan bahan, penggunaan teknologi, seterusnya perlu mematuhi lunas-lunas seni yang halus itu.  Malah, pengajaran seni juga dapat membina nilai-nilai halus dan murni secara kreatif dan inovatif, membentuk disiplin pelajar seperti juga kentalnya disiplin guru.
5)    Membina jati diri dan membina seni yang bersifat global
Pada abad ke-21, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang maju.  Sebagai sebuah negara yang maju, maka rakyatnya juga perlu berkualiti antarabangsa.  Dengan itu, sekurang-kurangnya, mereka akan mengenali di manakah negara yang menjadi pasaran produk barangan negaranya yang diedarkan di merata dunia.  Budaya ini boleh dipupuk melalui pendidikan seni dengan mempelajari seni dalam budaya lain.  Oleh hal itu, dengan mempelajari daripada pengalaman penstrukturan kurikulum Jepun sebagai yang maju dan produk industrinya menguasai pasaran dunia dapat dibuat.  Dengan itu, kurikulum pendidikan seni Malaysia pada abad ke-21 perlu berupaya membina semangat jati diri dan membina ilmu seni yang bersifat global.

Saturday 7 January 2012

CIRI-CIRI KREATIF DALAM PENDIDIKAN SENI

CIRI-CIRI KREATIF DALAM PENDIDIKAN SENI
            Seorang artis atau tukang dikatakan sebagai insan yang mempunyai daya kreatif, imaginatif dan nilai estetik yang tinggi.  Pendidikan seni bukan bertujuan untuk melahirkan ramai artis tetapi melatih dan mendidik pelajar agar dapat membentuk sahsiah yang positif dengan memiliki sifat-sifat kreatif sepertimana yang terdapat pada diri seseorang artis yang unggul.
            Seseorang artis yang unggul,  mereka mempunyai ciri-ciri daya persepsi yang tinggi.  Mereka peka, berkeupayaan dan gemar kepada melihat kekuatan nilai dan makna pada objek dan alam, mendengar “Bunyi Kehidupan” di sekeliling mereka, sedar tentang apa yang dirasa dan disentuh dan peka kepada bau yang dihidu.  Selain itu,  mereka juga mempunyai sifat daya membina idea sendiri.  Mereka memberi “Nafas Baru” dan kesinambungan terhadap perkara silam atau isu lama.  Malah, mereka juga membina, mencipta dan menghasilkan sesuatu, mencuba cara atau teknik baru, memanipulasi idea dengan pelbagai cara, secara tidak lazim atau berlainan dari kebiasaan perlakuan, mencuba dan meneroka pelbagai pendekatan dan bahan, menyelesaikan masalah dengan cara sendiri dan berimaginasi tinggi iaitu melangkau batas pemikiran biasa.
            Selain itu, mereka juga mempunyai sifat suka mencuba, meneroka dan mencari sesuatu yang baru.  Merekan akan menggunakan cara-cara baru dan inventif menghubungkan idea dan imej, mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang berlainan dari kebiasaan, berimaginasi dan berdaya mewatakan sesuatu dan berfikiran tulin dan asli.  Seterusnya, mereka suka mengkaji dan menyelidik supaya dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan, menganalisa data maklumat tentang apa yang dialami, bertanya dan mencari penjelasan dan mencari penemuan baru mengenai hubungan antara idea dan bahan.
            Di samping itu, seorang artis juga mempunyai sifat peka terhadap nilai estetik.  Maksudnya, mereka tertarik terhadap nilai keindahan, kecantikan, keunikan, kelainan dan keharmonian pada objek, alam dan kehidupan.  Malah, mereka dapat merasakan nilai rentak, irama dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan.  Sifat yang terakhir yang dimiliki oleh artis ialah keyakinan diri.  Mereka  menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan, berdikari dan mempunyai kekuatan perasaan dan emosi serta dapat membuat pernyataan diri.

Wednesday 4 January 2012

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI
            Terdapat pelbagai pendapat yang memperkatakan tentang proses kreativiti atau artisitik dan tahap-tahap perkembangannya.  Ada orang menggunakan tahap-tahap perkembangan kreativiti ini secara sekuens dalam kerja penghasilan karya mereka, ada juga yang tidak menggunakannya secara demikian, dan ada yang menghasilkan karya secara lebih bersifat personal dan tersendiri.
            Namun demikian, dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni, pengetahuan mengenai tahap-tahap perkembangan kreativiti adalah penting kerana dapat membantu para pendidik seni merancang pelajaran dan aktiviti secara tersusun dan berkesan.  Tahap-tahap perkembangan tersebut juga menggambarkan bahawa Pendidikan Seni adalah merupakan suatu bidang ilmu yang mempunyai struktur, terancang, pemeringkatan proses, boleh diajar dan boleh dinilai.

Thursday 29 December 2011

PENGENALAN DAN PENGERTIAN KREATIVITI

PENGENALAN KREATIVITI
Setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih kreatif dan produktif, tetapi ianya bukanlah merupakan hak mutlak akan terjadi kepada semua orang.  Ianya berkait rapat dengan idea, perasaan, pemikiran, pengalaman dan keinginan seseorang.  Sikap tunggu dan lihat, lemah jiwa, kekurangan pengetahuan dan kemahiran, menjadikan potensi kreatif yang ada pada setiap orang beransur lemah dan pasif.
Bagi seseorang artis, pemikiran kreatif (pemikiran tampak) yang kadangkala tidak menggunakan walau sepatah perkataan, merupakan suatu prosedur atau kaedah yang perlu digunakan apabila ia melihat, berfikir atau belajar bagi mewujudkan idea.  Idea yang diperolehi mungkin berupa imej tampak atau kefahaman pandang-timbang yang dapat ditukarkan ke dalam bentuk perkataan,  angka, simbol atau rentak muzik.  Seseorang yang kreatif lazimnya tidak hanya memaparkan  secara langsung tentang apa yang dilihat atau dialaminya, ia mungkin menggunakan metafora dan analogi memproses pengalaman tampaknya untuk dilahirkan ke dalam bentuk tampak yang baru.  Keupayaan menggunakan metafora dan  analogi memerlukan pula pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan.  Dengan lain perkataan, untuk mendapatkan kefahaman-timbang, seseorang itu perlu berusaha mendapatkan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran tentang sesuatu bidang.
Umumnya, para pendidik dan ahli psikologi hanya mneggunakan 10% keupayaan minda mereka.  Maksudnya, masih terdapat banyak ruang untuk mempertingkatkan keupayaan kreativiti dan  produktiviti.  Ungkapan “tiada Ilham” seharusnya bukan menjadi pegangan seseorrang yang kreatif.  Ia harus mencari dan meningkatkan kesedaran, mengenalpasti sesuatu, menginterpretasi dan melihat kemungkinan melalui daya pandang-timbang, untuk membentuk atau menukar imej kepada imej tampak yang baru.  Pangdang timbang memungkinkan berlaku sesuatu yang baru merupakan asas struktur penciptaan kreatif.  Ia memerlukan pemikiran yang seimbang iaitu melalui penggunaan otak kiri(perkataan) dan otak kanan(imej) pada masa serentak atau berubah-berubah dari kiri ke kanan dan sebaliknya.
Menurut Herbert Read, kita tidak hanya  mengajar kanak-kanak mengetahui, tetapi juga pada masa yang sama, mengajar mereka mencipta. Untuk mengetahui fakta (otak kiri) adalah suatu perkara,dan menukarkan fakta  kepada bentuk baru memerlukan keupayaan membuat  metafora(otak kanan) adalah suatu perkara lain, yang merupakan fungsi pemikiran kreatif.  Bagi mempertingkatkan daya kraetiviti seseorang, pembelajaran dan pengalaman aktiviti Pendidikan Seni adalah diperlukan.  Oleh itu, kurikulum Pendidikan Seni sewajarnya mempunyai objektif yang menuju kearah tujuan seperti memahami dan bertindak terhadap aspek seni, mengetahui pentingnya nilai seni dalam kehidupan, menghasilkan karya(produk seni), memahami seni dan membuat dan menggunakan pertimbangkan estetik dan kualiti karya seni.
 PENGERTIAN KREATIVITI
            Terdapat banyak pengertian tentang kreativiti yang dikemukakan oleh pakar-pakar berkaitan dengannya.  Antaranya ialah menurut June King McFee, kreativiti ialah keupayaan mencipta perlambangan dan idea yang baru, bagi mengemaskinikan perlambangan yang sedia ada, menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada suatu organisasi yang baru dan berdaya menyatukan idea baru atau idea yang diambil dari sesuatu kepada sisitem organisasi atau situasi yang lepas iaitu memberi makna baru.
            Manakala menurut E.  Paul Torrance, pelajar yang kreatif belajar melalui penyoalan, pemerhatian, penemuan, percubaan, penerokaan, memanipulasi sesuatu dan semasa bermain tetapi sentiasa mencuba mencari kebenaran dan keesahan.  Donald W. Mac Kinnon pula menyatakan bahawa individu kreatif boleh menyatakan tentang dirinya, mempunyai aras intelektual yang tinggi, berfikiran terbuka bagi mendapatkan pengalaman dan kepekaan estetik, berdikari dalam aspek berfikir dan bertindak dan berusaha menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
            Seterusnya, Robert C Burkhat pula menyatakan bahawa kreativiti ialah pembelajaran interaktif dalam kehidupan iaitu proses tindakbalas terhadap semua aspek yang datang dan pergi dalam aspek yang datang dan pergi dalan kehidupan secara berterusan untuk memebuat keputusan bagi menerima atau menolak, membina atau memusnahkan, mengulang atau menambah dan kejayaan atau kegagalan. Manakala, menurut Viktor Lowenfeld. Kreativiti ialah suatu naluri semulajadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang.  Naluri itu merupakan faktor pertama digunakan untuk menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan.  Keinginan ialah asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu.  Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.
            Carl R Rogers pula berpendapat bahawa proses kreativiti wujud melalui tindakan sesuatu yang berkaitan dengan ciri keunikan seseorang, bahan dan alat yang digunakan, kejadian dan peristiwa, manusia di persekitaran atau suka duka kehidupannya.  J.P Guilford pula menyatakan pemikiran kreatif adalah pemikiran yang fleksibel, lepas dari belenggu pemikiran lama dan berusaha mencari arah pemikiran dan tuju hala yang baru.  Malah, mengharapkan dan menjangkakan kepada sesuatu yang unik dan asli.  Kemudian, Nikola Tesla pula  berpendapat kreativiti ialah keupayaan menghubungkan pemikiran tampak dengan kesan luaran.

Pengenalan Pendidikan Seni

Pengenalan Seni, Definisi Seni, Definisi Pendidikan & Definisi Pendidikan Seni
Pengenalan

Apabila membicarakan tentang seni, masyarakat umumnya lebih tertarik dengan seni yang lebih popular seperti seni muzik mahupun seni lakonan. Ini bertitik tolak daripada pendedahan yang meluas diterima bagi kedua-dua cabang seni tersebut. Lantaran itu, seni muzik dan seni lakonan ini mempunyai impak yang bukan sedikit ke atas khalayak di negara ini. Nama-nama kecil dan besar yang menguasainya begitu mudah bermain di bibir masyarakat, baik anak kecil, mahupun golongan yang lebih tua.

Namun begitu, apabila memperkatakan tentang seni visual, ianya seakan jauh terpinggir. Walaupun sebenarnya ia telah wujud lebih awal di kalangan masyarakat, kita masih merasakannya sebagai suatu cabang seni yang duduknya pada kelas kedua. Hanya golongan tertentu sahaja yang bener-benar menghayati seni visual dalam erti kata penghayatan estetika selayaknya.

Walaupun kewujudan seni visual adalah seusia dengan peradaban manusia, namun masyarakat di Malaysia masih memandang sinis akan kepentingannya di dalam membentuk nilai-nilai kemanusiaan dan budaya bangsa. Bermula dengan lebih dikenali sebagai Seni Lukis dan Pertukangan/ Pekerjaan Tangan di era sebelum merdeka sehinggalah beralih kepada Seni Visual sejak kebelakangan ini, namun martabatnya masih diletakkan pada tempat yang sama.

Lantaran itu, sejajar dengan hasrat untuk membentuk warga negara yang tahu menghargai budaya, mempunyai nilai-nilai norma kemasyarakatan yang luhur berpaksikan kepada Rukun Negara, maka perubahan demi perubahan dilakukan ke atas kurikulum pendidikan negara. Perubahan ini merangkumi pelbagai mata pelajaran di sekolah merangkumi peringkat rendah persekolahan sehinggalah ke peringkat tertinggi. Perubahan ini turut merangkumi mata pelajaran Pendidikan Seni yang dikira akan dapat mengangkat martabat seni visual khasnya ke suatu kedudukan yang lebih baik.

Di samping itu, ia juga menjadi serampang dua mata sebagai uasaha membentuk minda baru masyarakat Malaysia, tidak sekadar memandang seni dari sudut estetikanya sahaja malahan mampu mengangkat darjat dan peranan seni visual di dalam pembentukan ketamadunan negara.



i) Definisi Seni

Apa sebenarnya yang dinamai ‘ seni ’ itu sendiri? Terlalu banyak kupasan dan pendefinisian mengenai seni, baik melalui tokoh-tokoh sejagat mahupun tokoh seni tempatan. Baik kupasan berlandaskan estetika semata-mata mahupun pengertian seni yang dapat dikutip melalui kacamata agama. Ini melambangkan betapa luasnya kesenian itu sendiri lantaran manusia yang normal secara totalnya amat senang dengan sesuatu yang mempunyai nilai-nilai dan unsur seni.

Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya ( sajak, lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu ( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.

Menurut Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ).
Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini. 

Kesimpulannya, biar dari sudut pandangan mana sekalipun, seni merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan estetika dan keindahan. Keindahan yang mampu memukau dan mempersonakan mata dan hati yang menghayatinya dengan segenap pancaindera yang ada.

ii) Definisi Pendidikan

Pendidikan menurut Plato, seorang filosofis Yunani, ialah mengasuh jasmani dan rohani seseorang agar dapat sampai ke satu tahap keindahan dan kesempurnaan yang paling tinggi. Secara jelasnya, pendidikan adalah suatu usaha membentuk kesempurnaan dan keindahan di dalam diri individu. Pengertian ini adalah sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh salah seorang lagi filosofis Yunani iaitu.

Aristotle di mana beliau mengungkapkan pendidikan sebagai satu usaha untuk menyediakan akal-fikiran untuk diisikan dengan ilmu pengetahuan, sebagaimana menyiapkan tanah untuk diisikan dengan tanam-tanaman. 

Berdasarkan Kamus Dewan, pendidikan berasal daripada kata dasar didik yang membawa pengertian memelihara dan memberi latihan berupa ajaran ataupun pimpinan mengenai akhlak dan kecerdasan fikiran. Pendidikan pula membawa maksud proses mengubah sikap dan tata laku seseorang dalam usaha mematangkan individu tersebut. Secara jelasnya, pendidikan bolehlah ditakrifkan sebagai proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada seseorang.

Oleh kerana luasnya konsep pendidikan itu disamping pertalian intimnya dengan ilmu, para cendikiawan seringkali memberi pendefinisian tentang pendidikan berdasarkan cabang ilmu masing-masing bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas. Umpamanya, di dalam Islam sendiri, konsep ilmu terbahagi kepada dua, iaitu ilmu akhirat ( ukhrawi ) dan ilmu keduniaan ( duniawi ). Bertitik-tolak daripada kefahaman tersebut, Abdul Halim el-Muhammady mentakrifkan pendidikan daripada kacamata Pendidikan Islam sebagai suatu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, Quran dan Sunnah, pengalaman salaf al-soleh serta ilmuwan muktabar dengan matlamatnya bagi melahirkan insan yang soleh. 

Manakala penganut aliran Fungsionalisme melihat individu tidak penting dalam menentukan apa yang sesuai untuk dirinya. Pendidikan bagi mereka bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan individu bagi dirinya tetapi untuk keperluan komuniti dan masyarakatnya. Ini adalah lantaran masyarakatlah yang menentukan baik dan buruknya sesuatu perkara. 

Salah seorang penganut aliran ini, Durkheim ( 1956 ) umpamanya mendefinisikan pendidikan sebagai penerapan pengaruh generasi dewasa kepada mereka yang memasuki era baru dalam kehidupan sosial. Mereka yang dididik adalah dikehendaki mempelajari dan mempraktikkan nilai-nilai keperluan sebagaimana yang dikehendaki oleh generasi yang lebih awal. Oleh itu, secara umumnya Durkheim menganggap fungsi pendidikan adalah untuk mengekalkan masyarakat dengan menyediakan rangka normatif dan kognitif masyarakat dalam diri invidu.

John Dewey, seorang pakar pendidikan Amerika Syarikat mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses perkembangan individu. Menurut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan selamat.

Hj. Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih di kenali sebagai Hamka iaitu salah seorang tokoh pendidikan Islam yang paling berpengaruh di Indonesia. Beliau mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses yang boleh membentuk tingkah laku yang baik, sikap yang berani serta budi pekerti yang mulia seperti sikap rendah diri, sabar, menghormati orang tua dan sebagainya.

Rabindranath Tagore, salah seorang ahli falsafah dan penyair India yang terkemukamenyatakan pendidikan sebagai suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang berfikiran sempurna, berupaya mencapai segala aspek kehidupan dengan penuh makna. Menurut beliau, pendidikan tidak seharusnya hanya terikat dengan buku, tetapi harus dihubungkaitkan dengan pengalaman kehidupan sebenar manusia.

Oleh itu, pendidikan secara jelasnya boleh dilihat sebagai suatu proses berterusan dalam usaha membentuk individu bagi memenuhi keperluan diri dan masyarakatnya, berlaku samada secara formal ataupun non-formal. Ini adalah kerana, setiap individu, terutamanya individu muslim, telah ditetapkan secara jelas tujuan matlamat pendidikan tersebut.

iii) Definisi Pendidikan Seni

Pendidikan Seni Di Dalam Sistem Pendidikan Formal Negara bermaksud program pendidikan yang bersistem, terancang dan boleh diukur prestasinya bagi memenuhi keperluan individu dan aspirasi negara. Ia merangkumi idea-idea yang dicetuskan melalui lukisan, ukiran dan pelbagai kemahiran tangan yang lain yang diadunkan daripada pengalaman murid dan apa yang telah dipelajari.

Feldman ( 1996 ) memberikan pendefinisian pendidikan seni sebagai usaha yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran membuat dan memahami seni, di samping mengetahui tentang dunia dan diri kita sendiri melalui seni. Seni yang dimaksudkan di sini adalah meliputi apa jua cabang seni visual seperti catan, arca, seni bina, reka bentuk industri, garafik komputer, serta apa jua yang berkaitan dengan seni, baik yang berupa seni tampak tradisional mahupun seni moden.

Pendidikan seni merangkumi pelbagai kaedah dan teknik yang digunakan di dalam penghasilan produk seni, mempelajari sejarah dan antropologi seni, membezakan makna seni serta melihat nilai produk seni individu. Lantaran itu, pendidiikan seni lebih menitik beratkan pemikiran, perbuatan dan penilaian yang original di samping memberi kesempatan untuk individu itu memperkembangkan idea semulajadinya secara teratur menerusi peringkat-peringkat perkembangan yang artistik.

Kesimpulannya, pendidikan seni merupakan suatu sistem pengajaran dan pembelajaran seni tampak yang terancang dan mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas. Pendidikan seni adalah suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang bermatlamat melahirkan individu yang celik seni bagi diri dan masyarakatnya